AWAS !!! Ulat hidup dalam telinga

Taipei: Masalah sakit telinga teruk yang dialami seorang wanita berjaya diatasi selepas doktor mengeluarkan ulat dari telinganya.

Wanita berusia 48 tahun yang dirahsiakan identitinya itu membuat pemeriksaan di hospital selepas 24 jam mengalami kesakitan yang teruk.

Doktor di Hospital Tri-Service, Taipei mengeluarkan alat bantuan pendengaran di telinga kiri wanita berkenaan dan mendapati saluran telinga wanita itu dipenuhi lapisan darah beku.

Selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, mereka menemui kepompong ulat di sekitar saluran telinganya dan doktor percaya ia sudah berada di situ sekurang-kurangnya satu hari.

ULAT yang dikesan membiak di dalam saluran telinga wanita berkenaan.

Dr Cheng-Ping Shih memberitahu media, telinga wanita berkenaan kurang peka setelah lama menggunakan alat bantuan pendengaran.

Katanya, alat itu juga menjadikan saluran telinganya panas dan ia menjadi tempat pembiakan sesuai untuk ulat berkenaan.

Laporan yang diambil daripada New England Journal of Medicine sebagai rujukan kes itu menyatakan ulat itu menghakis kulit pada pangkal saluran telinga berdekatan gegendang.

Doktor berjaya mengeluarkan ulat itu dan mengelakkan ia bergerak lebih dalam.

Kesakitan yang dialami wanita itu hilang serta merta selepas ulat itu dikeluarkan dan dua minggu selepas rawatan, luka di dalam telinganya pulih sepenuhnya.

Doktor percaya ulat itu berpunca daripada lalat di persekitaran rumah wanita berkenaan.

“Kebanyakan kes serangga memasuki saluran telinga datang dari serangga yang terbang dan lipas,” kata Doktor Cheng ketika ditemui.

Kes ini bukanlah yang pertama seumpamanya.

Sebelum ini, seorang wanita warga Britain, Rochelle Harris yang mengalami sakit telinga yang teruk terkejut apabila doktor mengesan lapan ulat besar membiak di dalam telinganya. - Agensi