Raja Bomoh dakwa lihat pesawat MH370 tergantung di udara

Seorang lelaki berusia yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP dikatakan mampu membuat ramalan berhubung keadaan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang.

Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam dunia keilmuan mendakwa melihat pesawat MH370 tergantung di ruang udara dengan lokasinya terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing menerusi upacara yang dilakukan selama 30 minit.

"Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara, di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit.

"Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan mereka tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam dua keadaan sama ada diculik oleh pihak tertentu atau disembunyikan di alam ghaib."

Upacara ritual itu menggunakan peralatan khas iaitu teropong buluh serta bubu mata pancing sebagai simbolik untuk memperoleh alamat terkini keadaan pesawat terbabit. Kata Ibrahim, bubu mata pancing terbabit sebagai simbolik penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian.

"Kita gunakan teropong sebagai simbolik meminta anasir-anasir terbabit untuk membebaskan pesawat terbabit secepat mungkin.

"Upacara yang kita buat turut menggunakan ayat-ayat suci al-Quran iaitu surah Nabi Yunus dan surah Yassin."

Dalam upacara tersebut, Ibrahim turut mempelawa beberapa individu daripada pelbagai bangsa termasuk seorang wakil media untuk membuat ritual pembebasan dengan meletakkan bubu mata pancing di atas kepala mereka.

Tambah bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati itu, selain upacara terbabit, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini.

Katanya, pihaknya sudah melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan dan selebihnya terserah kepada Allah SWT.