Rizalman “Sekolahkan” 2 Pengguna Facebook Mulut Celupar Tentang Juara Pelamin fantasia | ANTARA perkara yang menyakitkan hati apabila membuka laman sosial pada hari ini adalah ramai manusia beraksi bagai ustaz, ustazah dan polis moral di Facebook (juga Instagram) apabila gemar memberikan teguran terutama kepada para artis dan selebriti.
Sesetengah teguran memang berasas tapi tak kurang juga, ada yang seolah-olah sengaja mencari poin untuk mencari kesalahan dan mencipta kontroversi.
Contoh terbaharu menimpa pereka fesyen terkenal, Rizalman yang dipertanggungjawabkan mereka baju pengantin bagi peserta program realiti Astro, Pelamin Fantasia.
Hanya berdasarkan telahan sendiri dua orang pengguna Facebook mencetuskan marah Rizalman apabila mendakwa rekaannya tak “class” dan tak “vogue” langsung selain baju “bajet murah”.
Susulan itu Rizalman berkongsikan dua komen Facebook tersebut sambil menegaskan, beliau ikhlas melakukan kerjanya malah keluarga pengantin amat berterima kasih padanya seterusnya diakhiri dengan teguran sinis berbunyi, “Saya rasa akak berdua yang patutnya BISU!”
Pelamin Fantasia adalah program yang merealisasikan “perkahwinan Impian” di mana para peserta diadili oleh tiga juri iaitu Datuk Rosyam Nor, Datin Marlia Musa dan Rizalman Ibrahim sendiri.
Musim ini menyaksikan kemenangan menjadi milik penternak lembu dan kambing, Muhammad Syawaluddin Ghazali, 26, dan pasangannya, Norafiqah Ma Hassan, 24 yang telah selamat diijabkabulkan pada malam Sabtu.